Bulan ni Malaysia bakal menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 67.
Korang pernah terfikir tak tentang kehidupan sebelum merdeka?
Minmin pernah berborak dengan arwah nenek minmin tentang ni. Seronok dengar dia bercerita. Tapi rasa seronok tu bersulam dengan rasa sedih bila mengenangkan betapa susahnya nenek moyang kita dulu hidup sebelum negara kita mencapai kebebasan.
Zaman penjajah dulu dia orang makan apa yang ada je sebab nak beli pun payah nak jumpa, kalau ada pun mahal. Ye lah zaman dulu-dulu rata-rata hidup susah, takde kerja tetap macam kita sekarang, kebanyakannya kerja kampung je.
Zaman tu boleh dikatakan hampir semua orang ada menanam sayur-sayuran, ubi dan pokok buah-buahan kat rumah masing-masing, jadi bila kena time darurat tu takde lah sampai kebulur. Tapi apa yang ada keliling rumah dengan keliling kampung je lah.
Kadang-kadang masuk hutan cari hasil hutan yang boleh dimakan, kadang-kadang pergi sungai tangkap ikan. Masak pun lauk yang simple-simple je lah, janji cukup buat alas perut. Hatta biji durian pun dia orang rebus buat makan. Sekarang ni biji durian kita buang je.
Bersyukurlah kita tak hidup zaman tu. Dan disebabkan pengorbanan nenek moyang kita dulu lah kita boleh menikmati kesenangan yang kita kecapi hari ni.
Nak tau bahan-bahan apa yang nenek moyang kita selalu buat makan zaman sebelum merdeka dulu? Jom tengok kat bawah:
1. Ubi
Zaman dulu beras susah nak dapat, kalau ada pun mahal giler. Makanan ruji mereka sebagai pengganti nasi ialah ubi kayu. Selain daripada ubi kayu, ubi keladi dan ubi keledek juga turut menjadi santapan sebagai pembekal karbohidrat utama.
2. Sayur kampung
Contoh: kangkung, sawi, bayam, sulur keladi dan pucuk tumbuh-tumbuhan seperti pucuk paku, pucuk ubi, pucuk labu, pucuk gajus
3. Ulam-ulaman
Contoh: ulam raja, kacang botol, pegaga, daun selom, daun kaduk
4. Bunga tumbuh-tumbuhan
Contoh: bunga betik, bunga durian, bunga turi, jantung pisang
5. Umbut
Contoh: umbut pisang, umbut kelapa, umbut buluh
6. Ikan air tawar
Merangkumi ikan sungai dan ikan yang hidup di parit atau tali air seperti ikan puyu, ikan sepat, ikan belut, ikan keli
7. Buah-buahan muda
Buah-buahan muda selalu dibuat sayur atau lauk seperti pisang muda, nangka muda, betik muda, mangga muda
8. Cendawan liar
Contoh: kulat sisir, cendawan busut, cendawan telinga kera
9. Batang tumbuh-tumbuhan
Contoh: batang keladi, batang pisang
10. Biji buah-buahan
Contoh: biji labu, biji nangka, biji cempedak
Sempena #MerdekaMonth bulan ni, jom kita masak menggunakan bahan-bahan yang pernah mengisi perut nenek moyang kita satu ketika dahulu! Dengan cara ni sedikit sebanyak kita dapat merasa kepayahan mak-mak zaman tu menyediakan hidangan harian untuk keluarga tercinta dengan bahan makanan yang terhad. Maklumat lanjut cabaran bulan Ogos ni korang boleh baca kat sini.
Kat Cookpad ada banyak resipi bertemakan Merdeka yang korang boleh check out. Ada yang guna bahan-bahan yang sama warna dengan Jalur Gemilang, ada yang digubah seperti bendera Malaysia, semuanya menarik belaka. Tapi jangan lupa download dulu app Cookpad melalui PlayStore atau AppStore! Rugi tak download. Layan Cookpad kat app jauh lagi best daripada versi website!