Kalau dulu-dulu, sebut "pes miso" mesti ramai terpinga-pinga tak tau apa benda tu. Zaman sekarang bila ramai dah kenal hidangan-hidangan dari luar negara, pes miso tak asing lagi di kalangan kita khususnya mereka yang menggemari masakan Jepun.

Selalunya pes miso ni dibuat sup. Tapi korang tau tak selain daripada sup, pes miso ni banyak kegunaannya dalam masakan, boleh masak macam-macam hidangan lagi. Jom baca sampai habis kalau korang nak tau apa tu pes miso dan apa lagi yang boleh diimasak dengan pes miso ni.

  1. Apa itu pes miso
  2. Khasiat pes miso
  3. Miso sebagai salad dressing
  4. Miso sebagai bahan perapan
  5. Miso sebagai bahan perencah
  6. Miso sebagai perasa kuah
  7. Miso sebagai bahan sapuan

Apa itu pes miso

Pes miso ialah seasoning atau perasa tradisional Jepun yang diperbuat daripada kacang soya yang diperam bersama garam dan koji, sejenis kulat semulajadi yang selamat dimakan. Proses fermentasinya mengambil masa dari berminggu-minggu hingga bertahun-tahun, dan ini mempengaruhi kekuatan rasa umaminya.

Lazimnya ada dua jenis pes miso yang boleh didapati di pasaraya di negara kita: pes miso putih dan pes miso merah. Pes miso putih lebih manis dan mempunyai rasa yang lebih mild, jadi ia sesuai bagi mereka yang baru nak mencubanya. Pes miso merah pula lebih kuat bau dan rasanya, jadi sikit je dah cukup kalau nak masak guna pes miso ni.

Pes miso sesuai digunakan untuk penambah perisa hidangan yang agak plain dan membosankan seperti sup dan salad. Pes miso juga agak masin jadi tak perlu lagi tambah garam jika menggunakannya dalam masakan.

Khasiat pes miso

Oleh sebab pes miso ialah sejenis bahan fermentasi, ia kaya dengan probiotik yang bagus untuk usus dan sistem pencernaan.

Miso Sup oleh Erma Yusnida

Miso juga kaya dengan vitamin dan mineral terutamanya Vitamin B, E, K, dan juga asid folik. Ia dikatakan mampu memperkukuhkan sistem imun tubuh badan dan membantu mencegah pelbagai jenis penyakit, termasuk kanser. Selain daripada tu, miso juga boleh membantu menstabilkan glukos dalam darah, mengekalkan kesihatan cardiovaskular, mengurangkan tekanan darah dan kolestrol, dan mengurangkan radang.

Miso sebagai salad dressing

Salad jadi lebih umph! dengan miso. Tambah je secolek dalam salad dressing sedia ada untuk rasa yang lebih menyerlah. Nak tambah sikit pada kerabu pun boleh. Pes miso paling sesuai dicampurkan ke dalam salad atau kerabu yang mengandungi seafood terutama sekali ikan.

Miso sebagai bahan perapan

Miso boleh dilumur pada ayam, daging atau ikan sebagai bahan perapan sebelum dibakar atau dipanggang. Nak campurkan dengan bahan perapan sedia ada pun boleh, nak gunakan pes miso semata-mata pun boleh. Tapi ingat jangan guna banyak sangat nanti terlebih masin pula rasanya.

Ayam Miso oleh Azyyati Zakaria

Miso sebagai bahan perencah

Miso sesuai sebagai bahan perencah. Hanya tambahkan sikit pada goreng-gorengan seperti mee goreng atau bihun goreng sebagai ganti sos tiram atau kicap masin. Miso juga boleh digunakan dalam stir-fry untuk memberikan rasa yang lebih padu pada hidangan. Tak perlu tambah garam lagi!

Daging Miso oleh Azyyati Zakaria

Miso sebagai perasa kuah

Selain daripada sup, miso boleh dijadikan bahan perasa untuk hidangan berkuah seperti ramen, stew dan pelbagai lauk pauk. Khususnya bagi hidangan vegetarian, rasa umami yang terkandung dalam pes miso boleh digunakan sebagai ganti perasa berasaskan protein haiwan.

Spicy Miso Ramen oleh Keroroyz Royz

Miso sebagai bahan sapuan

Miso boleh disapu terus ke atas roti atau dicampurkan dengan sos atau mayonis sebagai perisa tambahan untuk sandwich. Ia juga boleh dijadikan mentega dengan melenyekkannya bersama mentega biasa dan sedikit jus limau nipis. Mentega miso boleh dilumurkan di atas protein yang baru dimasak, dibiarkan mencair di atas sayur-sayuran yang baru dikukus, atau dicampur ke dalam stir fry.

Creamy Butter Miso Pasta oleh Audrey J

Pes miso merupakan salah satu bahan tersenarai untuk Week 19 #GoldenApron23. Bagi yang dah pernah makan, apa kata korang cuba masak miso cara lain pula. Bagi yang belum pernah makan lagi, inilah masanya untuk korang cuba dan bereksperimen dengan bahan yang sihat lagi berkhasiat ni!