Nasi merupakan makanan ruji rakyat Malaysia. Boleh dikatakan semua dapur chef rumahtangga di negara ini ada tersimpan tong beras. Ada orang yang tak boleh hidup kalau tak makan nasi tiap hari. Biar lauk pauk basic janji nasi tetap kena ada.

Antara topik yang tengah hangat diperkatakan ketika ni ialah harga beras yang melambung tinggi disebabkan cuaca yang tidak menentu menyebabkan hasil tanaman padi terjejas teruk. Harga beras import naik hampir dua kali ganda, menyebabkan bekalan beras tempatan agak sukar didapati di mana-mana.

Bagi keluarga yang besar terutamanya, dah tentu kenaikan harga ni agak membebankan. Mungkin boleh gantikan nasi dengan bahan-bahan lain pada hari-hari tertentu agar perbelanjaan dapur lebih terkawal? Jom kita tengok bahan-bahan apa yang boleh menggantikan nasi yang murah tapi tetap mengenyangkan.

8 bahan alternatif bagi menggantikan nasi

  1. Ubi kentang
  2. Ubi kayu
  3. Ubi keledek
  4. Mee
  5. Roti Slice
  6. Tepung Gandum
  7. Jagung
  8. Pisang

Ubi Kentang

Versatil, sedap dan berkhasiat, ubi kentang ialah pengganti nasi yang paling ideal dan boleh diolah menjadi pelbagai hidangan seperti mashed potato, cucur, fries dan wedges. Ubi kentang juga boleh dimakan dengan kulitnya sekali, hanya cuci bersih dan goreng atau bakar sekali dengan isinya.

Ubi Kayu

Ubi kayu sememangnya telah digunakan sebagai pengganti nasi oleh nenek moyang kita di zaman darurat dulu. Enak direbus dan dicicah gula, kelapa parut atau sambal, ubi kayu juga sedap digoreng begitu saja atau dijadikan kuih, sira dan pengat.

Ubi Keledek

Digemari semua lapisan usia khususnya kanak-kanak, ubi keledek yang juga dikenali sebagai ubi jalar mempunyai rasa yang manis berbanding jenis-jenis ubi yang lain. Ubi keledek enak digoreng atau direbus dan dinikmati begitu saja, juga boleh dijadikan kuih, bubur atau keledek balls.

Mee

Mee ialah pengganti nasi yang paling lazim di negara kita disebabkan ia paling mudah didapati dan boleh dipelbagaikan cara masakannya menjadi berjenis-jenis hidangan yang lazat dan mengenyangkan. Mee kerap dimasak dengan bermacam-macam bahan dicampurkan sekali dalam satu hidangan, menjadikannya menu yang bukan saja sedap tapi lengkap dan berkhasiat. Antara hidangan mee yang popular ialah mee goreng, mee rebus, mee kari dan mee sup.

Roti Slice

Roti slice ialah pengganti nasi yang paling mudah dan ringkas kerana tidak perlu dimasak. Ia boleh dikapit dengan pelbagai bahan-bahan dan dijadikan sandwich, atau dicicah dengan kuah sardin, kari, kuah durian atau sambal. Roti slice juga boleh dijadikan bingka atau pizza.

Tepung Gandum

Tepung gandum juga ialah sejenis bahan yang sangat versatil dan boleh diolah menjadi bermacam-macam jenis makanan seperti lempeng, roti canai, cucur, bubur, kek dan kuih. Kalau korang rajin, korang juga boleh buat roti dan mee sendiri menggunakan tepung gandum.

Jagung

Manis dan berkhasiat, jagung senang didapati di negara ini dan enak dinikmati sama ada direbus atau dibakar. Jagung juga boleh diolah menjadi cucur, bubur atau puding.

Pisang

Negara kita kaya dengan pelbagai hasil tanaman buah-buahan tropika termasuk pisang. Ada pelbagai jenis pisang yang boleh didapati di Malaysia, semuanya sesuai digunakan dalam masakan baik yang muda mahupun yang masak ranum. Selain daripada digoreng, direbus atau dimakan begitu saja, pisang juga sedap dibuat cekodok, lempeng, kek, roti, kuih dan pengat.