Hidupkan Nostalgia dengan Kuih Raya Tradisi

Selain daripada ketupat, rendang dan lemang, kuih raya semestinya sinonim dengan Hari Raya Aidilfitri. Ia merupakan salah satu benda yang wajib ada ketika Hari Raya di Malaysia untuk dihidangkan buat tetamu yang berkunjung ke rumah.

Kuih raya zaman sekarang datang dalam pelbagai rupa, rasa dan nama. Ada beribu-ribu jenis kuih raya yang boleh didapati pada masa ini. Namun bagi kebanyakan daripada kita, kuih raya tradisional tetap mendapat tempat di hati, terutamanya yang membesar dengan kuih-kuih raya tradisional ini.

Setelah 2 tahun kita tidak dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna, apa kata untuk Aidilfitri tahun ini kita cipta kelainan dengan menghidupkan kembali tradisi? Selain daripada rasanya yang tidak lapuk ditelan zaman, kita juga boleh memperkenalkan semula kuih-kuih raya tradisi ini kepada golongan muda mudi yang mungkin tidak pernah menjamahnya.

Berikut adalah 10 kuih raya tradisi yang boleh anda buat untuk Hari Raya tahun ini:

1. Kuih Makmur

Kuih Makmur lazimnya menggunakan minyak sapi, tetapi pada masa ini terdapat banyak resipi kuih makmur yang hanya menggunakan mentega. Kuih ini juga menggunakan kacang tanah yang dikisar halus dan disaluti gula ising. Rasanya sangat gebu dan cair di dalam mulut.

Resipi Kuih Makmur oleh LATIPAH NAWAWI
#goldenapron Kuih orang lama yang masih ada penggemarnya.

2. Kuih Bangkit

Kuih Bangkit diperbuat daripada tepung ubi dan tepung sagu. Ia mempunyai bau yang sangat harum dengan tekstur rangup dan rapuh tetapi cair di dalam mulut apabila memakannya. Kuih Bangkit Cheese adalah versi moden kuih bangkit yang agak popular pada masa ini.

Resipi Biskut Bangkit Cheese oleh Ell Sakimin
#goldenapron2020 #minggu30 Percubaan pertama saya buat biskut bangkit ni. Sedikit rapuh, tapi saya suka sangat, macam makan sagun pula rasa. Ni baru namanya amatur🤭. Jom lihat resepi dibawah jom!👇👇👇

3. Dodol

Diperbuat daripada tepung pulut, Dodol mempunyai rasa yang manis dan tekstur yang kenyal. Cara tradisional memasaknya sangat renyah kerana ia mengambil masa berjam-jam dan memerlukan tenaga yang banyak kerana dodol yang dimasak di dalam kawah besar harus sentiasa dikacau untuk memastikan ia masak sempurna dan cantik teksturnya. Pada zaman sekarang, dodol boleh dimasak hanya dengan menggunakan breadmaker. Tetapi hati-hati memakannya jika anda memakai gigi palsu!

Resipi Dodol Durian “Bread Maker” oleh Leeina Qaliena
#GGB_Cookpad #goldenapron2020 Dodol “makanan kesukaan ramai.Namun nak membuatnya bukanlah mudah.Berpeluh ketiak dibuatnya mengadap api dan mengacau sehingga masak.Tapi itu cerita dulu.🤗 Sekarang nak buat dodol sedap macamni hanya dihujung jari sahaja dengan adanya bread Maker.Ianya sangat mudah.Wal…

4. Wajik

Juga dikenali sebagai Pulut Kacau atau Pulut Manis, Wajik diperbuat daripada beras pulut, santan dan gula. Ia mempunyai tekstur yang melekit dan sedikit kenyal, tetapi rasanya yang lemak manis mampu menambat hati sesiapa sahaja yang berani mencubanya.

Resipi Wajik kuih Tradisi Turun Temurun oleh @Nana Sabrina Sarsan
#goldenapron #1recipe1tree Sebut sahaja Wajik pasti ramai yang kenal kuih ini, memang sangat sedap, rasa lemak manis mampu memikat anak tekak sesiapa pun, kuih tradisional zaman nenek kita dulu, penyediannya yang sangat mudah, makan sekali tidak akan bosan, malah bole buat anda bertambah lagi dan la…

5. Semperit

Diperbuat daripada tepung gandum, tepung jagung dan tepung kastard, semperit ialah kuih raya kegemaran zaman-berzaman yang mempunyai ramai peminat hingga ke hari ini. Teksturnya yang rapuh dan cair di mulut mampu memikat hati sesiapa sahaja yang merasainya. Lazimnya semperit boleh didapati dalam dua bentuk - bentuk bunga (juga dikenali sebagai Semperit Dahlia) dan juga bentuk empat segi tepat.

Resipi Semperit Klasik (old school) oleh Aza Aaj
#goldenapron2020 #cooksnapramadan Kuih dulu2 tetap pilihan sepanjang zaman tahun ini raya kita2 jer...tapi Semperit tetap salah satu menu wajib bagi keluarga kami...kuih favourite ayah akk,tahun ni ayah xmerasa semperit dari air tangan akk sebab PKP Kami tidak pulang ke kampung kami beraya diperanta…

6. Bahulu

Bahulu diperbuat daripada tepung gandum, telur dan gula. Ia lazimnya dibakar di dalam acuan besi berbentuk bunga. Pada zaman dahulu, kuih bahulu dibakar menggunakan sabut dan kayu api, yang memberikan rasa "asap" yang sedap dan bau yang harum pada kuih. Untuk mendapatkan tekstur yang lembut dan gebu di dalam tetapi garing di luar, tepung gandum disangai terlebih dahulu dan adunan bahulu dipukul dalam tempoh yang lama iaitu lebih kurang dua jam.

Resipi Bahulu oleh Aznie Khasri
Raya dah nak habis baru rasa nak makan bahulu.. Alhamdulillah

7. Kuih Siput

Dibuat daripada tepung gandum, telur, marjerin, udang kering dan pelbagai rempah ratus, kuih siput boleh menimbulkan ketagihan pada sesiapa yang merasanya buat pertama kali. Rangup dan rapuh, kuih siput digentel satu-persatu menggunakan tangan bagi menghasilkan bentuk "siput".

Resipi Kuih Siput Opah oleh Cik Roshie
kuih siput mesti akan jadi pilihan setiap kali beraya kat rumah. Zaman moden sekarang jarang jumpa orang hidang. Mungkin sebab nak buat kuih ni kena rajin tahap dewa nak gentel. Tapi bila makan sekejap je tak sedar dah habis sebalang. Saya memang suka makan kuih ni, sebab tu bermacam-macam resepi si…

8. Biskut Mazola

Juga dikenali sebagai Biskut Kacang, Biskut Mazola hanya menggunakan empat bahan sahaja iaitu tepung gandum, gula ising, kacang tanah dan minyak jagung. Rasanya sangat rapuh dan berderai di dalam mulut apabila digigit. Cara membuatnya juga tidak serumit kuih-kuih raya tradisi yang lain.

Resipi Biskut Mazola oleh Sarmila Sharif
#goldenapron2020 Biskut legend. Boleh buat bila-bila masa je sebab mudah sangat nak buat. Biskut wajip bila menjelangnya Hari Raya.

9. Biskut Sarang Semut

Biskut Sarang Semut juga sejenis biskut yang rapuh dan berderai di dalam mulut apabila memakannya. Cara membuatnya juga agak mudah kerana adunannya boleh dipukul dengan senduk kayu sahaja dan tidak perlu dipukul lama. Dohnya perlu diparut untuk menghasilkan tekstur yang halus seakan sarang semut.

Resipi Biskut Sarang Semut oleh Nur Aqeela Shakeera
Alhamdulillah.. Sempat juga buat biskut raya pada malam raya. Nak buat hari lain tak sempat sebab kena jaga kedai. Tahun ni beraya 4 orang je.. Saya, kakak dan mak ayah. Mak ayah dah tua tak boleh makan biskut keras2 jadi saya dan kakak pilih untuk buat biskut yang lembut untuk mak ayah. Jadi buat l…

10. Kuih Ros

Kuih Ros juga dikenali sebagai Kuih Loyang, Kuih Goyang atau Kuih Bunga Durian. Ia mempunyai tekstur yang rangup, rapuh dan sedikit manis. Lazimnya acuan tembaga digunakan untuk membentukkan kuih ini dan acuannya dicelup terlebih dahulu ke dalam minyak panas sebelum dicelup ke dalam adunan kuih bagi menghasilkan kuih yang cantik bentuknya dan senang dikeluarkan daripada acuan apabila telah masak.

Resipi Kuih Ros oleh Rosidah Muhd
Kudapan paling laris di hari raya nanti. Cubalah

Bagaimana pula dengan anda? Kuih raya apakah yang bakal anda hidangkan tahun ini? Adakah ia termasuk kuih-kuih yang terpapar di laman ini? \Jika anda ada resipi-resipi kuih raya tradisional warisan turun temurun, kongsikannya bersama kami di Cookpad Malaysia!

Nota Kaki: Gambar hiasan utama milik Aznie Khasri.