Ada banyak jenis limau. Ada limau yang sedap dimakan begitu saja, ada limau yang lebih sesuai digandingkan dengan pelbagai jenis bahan. Ada limau yang menyerlah manisnya, ada limau yang menyerlahkan rasa sesuatu hidangan.
Limau memang banyak digunakan dalam masakan di Malaysia, terutamanya hidangan Melayu. Selain berfungsi sebagai penambah perisa sesuatu hidangan, limau juga digunakan dalam penyediaan bahan-bahan sebelum dimasak, contohnya untuk menghilangkan bau dan rasa hanyir pada ikan dan ayam.
Lazimnya ada dua jenis limau yang selalu digunakan dalam masakan di negara kita. Sekali pandang macam sama, dua kali pandang lain rupanya. Kedua-dua limau ni bukan saja menyedapkan masakan, tapi juga mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
- Limau Nipis
- Limau Kasturi
Limau Nipis
Saiz limau nipis lebih besar berbanding limau kasturi. Warna isinya lebih cerah daripada limau kasturi, dan rasanya juga lebih berasid dan tajam. Limau nipis sering dibuat minuman dan digunakan dalam masakan kerabu, tom yam, kukus halia, sweet sour dan tiga rasa.
Ia juga sering dicampurkan dengan avocado dalam pembuatan guacamole bagi mengelakkan avocado bertukar warna dan menjadi lebam. Limau nipis juga jika diperah ke atas betik masak memberikan satu rasa yang cukup luar biasa. Mereka yang ingin mengawal berat badan juga sering mengamalkan minum air campur limau nipis untuk menyingkirkan lemak berlebihan.
Limau Kasturi
Limau kasturi mempunyai saiz yang lebih kecil daripada limau nipis. Isinya berwarna kuning pekat hingga jingga. Bentuknya lebih bulat dan ia juga lebih lembut berbanding limau nipis, menjadikannya senang untuk diperah. Limau kasturi banyak digunakan dalam masakan Melayu seperti kerabu dan sambal, terutamanya sambal belacan dan sambal tomato, oleh itu ia juga sering digelar "limau sambal".
Ia juga sering dibuat minuman seperti teh limau dan sirap limau, dan selalu dihidangkan bersama hidangan seperti laksa dan mee goreng untuk diperah begitu saja atas hidangan tersebut bagi menyerlahkan lagi rasanya.
Korang suka guna limau yang mana? Bagi minmin, kita lebih banyak guna limau kasturi sebab lagi senang nak perah dan sebab buah dia kecil-kecil, senang nak budget nak guna banyak mana, tak payah simpan-simpan kalau ada lebih. Tapi bergantung pada tujuan kegunaan limau tu juga, ikut mana yang lebih sesuai untuk tujuan tersebut.