Calamari. Kita biasa nampak nama ni kat menu restoran yang agak fancy. Tapi apa tu calamari?

Ramai rupanya yang masih kurang jelas apa sebenarnya calamari. Disebabkan ketidakpastian ni lah pernah tercetus kontroversi satu ketika dulu. Dikatanya calamari ni diperbuat daripada usus khinzir.

Jadi hari ni, jom kita belajar apa tu calamari supaya takde lagi salah sangka lepas ni.

  1. Apa itu calamari
  2. Di mana calamari boleh didapati
  3. Cara memasak calamari

Apa Itu Calamari

Perkataan "calamari" berasal daripada perkataan Itali "calamaro", bermaksud "sotong". Jadi calamari sebenarnya hanyalah sotong yang digunakan dalam masakan, khususnya bahagian badan sotong yang dihiris bulat-bulat menjadi bentuk cincin. Calamari juga dikenali sebagai "squid ring" atau "sotong ring" atau "sotong cincin".

Tapi jangan salah faham ya, tak semua sotong boleh dijadikan calamari. Calamari diperbuat daripada sotong biasa (squid) yang mempunyai badan berbentuk silinder dan janggut yang panjang di kepalanya, bukan sotong katak (cuttlefish) atau sotong kurita (octopus).

Di mana calamari boleh didapati

Sotong calamari senang didapati dan ada terjual di kebanyakan pasaraya, pasar basah dan kedai Aceh. Beli je sotong biasa, lepas tu hiris badan dia, jadilah calamari. Calamari juga ada dijual siap potong dan frozen di bahagian sejuk beku kebanyakan pasaraya.

Cara memasak calamari

Calamari boleh dinikmati dengan pelbagai cara. Ia boleh dibuat lauk seperti sambal atau masak lemak, atau dicampurkan dalam hidangan pasta, nasi goreng, mee goreng, tom yam, kerabu dan paella. Secara ringkasnya apa-apa je hidangan yang ngam dimasak dengan sotong sesuai juga dimasak dengan calamari, sebab hakikatnya calamari tu hanya sotong yang dikerat-kerat.

Sambal Sotong oleh Noor Atika Mahamood

Cara memasak calamari yang paling popular ialah dengan mencelupnya ke dalam bancuhan tepung dan menggorengnya. Tapi ia juga boleh dimasak dengan cara grill atau sauté. Cara memasak calamari yang optimum ialah memasaknya sekejap je (tak lebih daripada 2-3 minit) dengan menggunakan suhu tinggi untuk mengekalkan kelembutan, tekstur dan rasa isinya.

Sotong Ring Celup Tepung oleh FZ Adzlin

Cara lain untuk memasaknya ialah melalui kaedah "braise", iaitu memasaknya dalam hidangan berkuah dengan menggunakan suhu yang paling rendah selama 30-45 minit. Dengan menggunakan kaedah ini, kolagen yang terkandung di dalam calamari akan terlerai menjadi gelatin, menghasilkan tekstur yang lebih lembut dan cair di dalam mulut.

Calamari Salted Eggs oleh Epit Orange

Diharapkan dengan artikel ni, takde lagi timbul sebarang kesangsian terhadap asal-usul calamari, khususnya yang dijual di pasaraya. Boleh beli, masak dan makan calamari tanpa was-was lepas ni. Lagipun calamari ni merupakan salah satu bahan #GoldenApron23 Week 17 tau, rugi tak masak bahan ni sebab sedap dan senang sangat nak dapat.

Kredit: Gambar utama artikel ini diambil daripada resipi Grilled Calamari with Lemon and Cilantro oleh Mahadiah