Kenali dan Cara Makan Buah Binjai

Buah binjai yang juga dikenali sebagai buah kemang merupakan salah satu buah-buahan nadir di negara ini, iaitu buah-buahan yang jarang ditemui disebabkan ia tidak ditanam secara komersil. Buah binjai juga bermusim, dan biasanya berbuah setahun sekali dari bulan Ogos hingga September. Pokok binjai biasanya ditemui di dalam hutan dan dikatakan mampu hidup hingga beratus tahun lamanya!

Jom kita kenali buah binjai dengan lebih dekat!

Kenali buah binjai dan cara menikmatinya

  1. Rupa buah binjai
  2. Bau dan rasa buah binjai
  3. Khasiat buah binjai
  4. Resipi buah binjai

Rupa buah binjai

Memandangkan buah binjai datang daripada keluarga yang sama dengan buah mangga, buahnya juga berbentuk bujur dan lonjong seperti buah mangga. Warnanya bertukar daripada hijau ketika muda hingga coklat kekuningan ketika masak. Isinya agak lembik dan berwarna putih kekuningan, dan sangat berjus.

Gambar oleh Fadlina Yusof

Bau dan rasa buah binjai

Buah binjai mempunyai bau yang sangat kuat dan harum. Rasanya pula bergantung pada jenis binjai tersebut; ada yang masam, ada yang masam manis dan ada yang sangat manis. Lazimnya yang banyak terjual ialah sama ada jenis yang masam atau yang manis.

Khasiat buah binjai

Buah binjai kaya dengan vitamin C, vitamin A, serat, potasium, kalsium dan zat besi. Kajian juga menunjukkan buah binjai mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi, yang mampu membina ketahanan tubuh badan dan mengelakkan daripada pelbagai penyakit. Buah binjai juga mengandungi tiamin atau vitamin B1 yang mampu membekalkan tenaga, mengelakkan kelesuan dan meningkatkan selera makan.

Gambar oleh Aza Aaj

Resipi buah binjai

Buah binjai yang manis sedap dimakan begitu saja tapi buah yang masam lazimnya dibuat jeruk atau digunakan dalam masakan.

Jeruk Buah Binjai oleh Zleq Kha

Buah yang popular di Melaka dan Negeri Sembilan ini biasanya dimasak gulai, masak lemak dan asam pedas, atau dibuat sambal, khususnya sambal belacan. Buah binjai yang manis juga dijadikan jus atau kordial kerana kandungan airnya yang tinggi.

Sambal Belacan Buah Binjai oleh Ummisally

Menurut Cookpader Sesimple Loralin, jangan sesekali menekan buah binjai yang baru dan belum masak ranum. Ia harus dibiarkan saja sehingga ia mengeluarkan bau yang kuat dengan sendirinya, sebab itu tandanya buah dah sedia untuk dikupas. Binjai yang dah masak juga akan kelihatan kecut sikit di bahagian tangkainya.

Kredit: Gambar utama artikel ini oleh Kha Alkhalid.