Siapa kat sini tak kenal pisang. Dari zaman kanak-kanak hingga dewasa kita dihidangkan dengan pisang. Dari cekodok dan pisang goreng hingga ke pengat dan kek, pisang ialah salah satu buah-buahan tropika yang popular dan tak asing lagi di kalangan rakyat Malaysia.
Pisang senang didapati di mana-mana saja baik di gerai tepi jalan mahupun di pasaraya besar. Harganya juga agak murah berbanding buah-buahan tropika yang lain seperti durian dan tembikai.
Pisang mempunyai banyak khasiat dengan kandungan vitamin, mineral dan serat yang tinggi. Kandungan potassiumnya yang tinggi baik untuk kesihatan jantung di samping membantu menstabilkan tekanan darah. Pektin yang terdapat di dalam pisang juga boleh membantu mengawal kenaikan gula dalam darah selepas makan.
Korang tau tak ada lebih daripada 1,000 jenis pisang yang ditanam di serata dunia?
Kat Malaysia je ada berpuluh jenis pisang yang boleh didapati. Tapi dalam artikel ni kita akan memperkenalkan 8 jenis pisang yang paling popular dan paling diminati di negara ini, iaitu:
- Pisang Raja
- Pisang Emas
- Pisang Embun
- Pisang Tanduk
- Pisang Nangka
- Pisang Nipah
- Pisang Awak
- Pisang Berangan
Pisang Raja
Pisang Raja agak besar saiznya berbanding pisang yang lain, dan ia juga agak sukar dijumpai. Mempunyai rasa yang semulajadi lemak manis, pisang ini sedap digoreng atau dimakan begitu saja. Ia juga selalu digunakan untuk membuat pengat, kek atau kuih. Pisang raja juga merupakan salah satu bahan-bahan wajib untuk Week 11 #GoldenApron23
Pisang Emas
Juga dikenali dengan nama Lady Finger Banana, pisang emas bersaiz kecil dan pendek. Namanya diperolehi daripada warnanya yang bertukar kuning keemasan apabila masak. Kulitnya nipis dan amat digemari oleh kanak-kanak sebagai snek. Rasanya sangat manis dan selalu dijadikan cekodok atau kek. Tetapi pisang ni cepat lebam bila dah masak, jadi kena dimakan atau dimasak secepat mungkin sebaik saja ia masak. Pisang emas yang muda selalu dimasak gulai atau masak lemak.
Pisang Embun
Pisang embun juga dikenali dengan nama pisang bunga dan ambon di Filipina. Pisang ini bersaiz besar dan mempunyai kulit yang bertukar daripada warna hijau ke warna kuning atau merah apabila masak. Rasanya tidak semanis pisang emas dan pisang raja, tetapi tetap sedap dimakan begitu saja. Sama seperti pisang emas, pisang embun harus dimakan secepat mungkin kerana ia cepat bertukar menjadi lembik setelah masak.
Pisang Tanduk
Pisang tanduk bersaiz besar dan mempunyai bentuk yang panjang dan melengkung seakan-akan tanduk. Rasanya sedikit masam jadi lazimnya ia digunakan dalam masakan dan bukan dimakan mentah. Pisang tanduk biasanya dijadikan kerepek, pengat atau digoreng begitu saja.
Pisang Nangka
Warna kulit pisang nangka kekal hijau walaupun telah masak. Jika kulitnya bertukar warna kekuningan, ia bermakna yang pisang tersebut sudah lembik isinya dan tak sesuai lagi untuk dimakan. Seperti pisang tanduk, ia mempunyai rasa yang bercampur antara manis dan masam. Pisang nangka sesuai digoreng dan dijadikan dessert.
Pisang Nipah
Juga digelar pisang abu, pisang nipah mempunyai bentuk yang bersegi dengan kulit yang tebal. Ia biasanya digoreng atau dijadikan pengat dan kuih, dan jarang dimakan mentah begitu saja.
Pisang Awak
Pisang awak mempunyai bentuk yang gemuk dan pendek. Cirinya yang unik berbanding pisang jenis lain ialah ia mempunyai biji berwarna hitam yang agak keras dan boleh dilihat dengan mata kasar. Pisang awak lazimnya digoreng, direbus dan dicicah dengan kelapa parut, atau dibuat kuih.
Pisang Berangan
Pisang berangan mempunyai rasa yang sangat manis dan biasanya dihidangkan begitu saja di majlis-majlis keramaian sebagai pencuci mulut. Selain daripada dimakan mentah, ia juga sering digoreng kerana isinya agak keras dan tidak benyek atau lembik, menjadikannya sesuai untuk digunakan dalam masakan. Pisang berangan juga sering dijadikan kuih, dessert, lempeng dan kek.