Bagi yang kenal, bila sebut je pucuk midin, mesti terbayang pucuk tumbuhan yang kepalanya melingkar macam ulat gonggok kan? Bagi yang tak kenal, mesti dok tertanya-tanya, pucuk midin tu menatang apa?

Ada yang sebut pucuk midin tu pucuk paku. Ada yang ingat pucuk midin kat Semenanjung Malaysia lain dengan pucuk midin kat Sarawak. Betul ke pucuk midin dengan pucuk paku tu benda yang sama? Betul ke pucuk midin kat Semenanjung lain rupanya dengan yang kat Sarawak?

Blog kita minggu ni mengupas segalanya berkenaan pucuk midin.

  1. Apa itu pucuk midin
  2. Khasiat pucuk midin
  3. Di mana pucuk midin boleh didapati
  4. Cara memasak pucuk midin

Apa itu pucuk midin

Penggemar sayur-sayur kampung terutamanya yang duduk kat Sarawak mesti familiar dengan pucuk midin ni, yang juga dikenali sebagai paku merah.

Pokok midin ni ialah sejenis paku pakis, sebab tu lah ada orang panggil pucuk midin ni pucuk paku, terutama sekali kat Semenanjung Malaysia.

Tapi walaupun pokok midin ni bawah kategori paku pakis, pucuk midin ni sebenarnya lain dengan pucuk paku yang kita biasa makan tu. Batang dia licin dengan kepala yang lebih bulat berbanding dengan pucuk paku biasa yang berbulu halus dan berpelepah.

Photo credit: Feats of Feasts

Menurut penulis laman Feats of Feasts dalam artikelnya (kita pinjam gambar dia untuk tunjukkan perbezaan antara pucuk midin dengan pucuk paku), pucuk paku biasa mempunyai lebih banyak daun-daun kecil yang berbentuk segitiga dan sama seperti daun matang, manakala pucuk midin tiada atau hampir tiada daun di batangnya. Batang pucuk midin juga lebih gelap warnanya dengan daun yang berwarna kemerah-merahan, manakala pucuk paku biasa lebih cerah warnanya (hijau muda).

Pucuk midin juga takde bezanya antara yang kat Semenanjung dengan yang kat Sarawak.

Menurut salah seorang otai Cookpader dari Sarawak, Dapur Yusfarisyia atau lebih mesra dikenali dengan panggilan Kak Za, yang orang selalu buat masak kat Semenanjung tu daun midin yang agak matang, manakala yang selalu jumpa kat Sarawak tu pucuk dia. Tapi ia sebenarnya pokok yang sama je, bezanya terletak pada bahagian pokok je. Orang Sarawak panggil pucuk midin ni lemidin.

Photo Credit: Dapur Yusfarisyia

Daun midin yang masih muda tak mekar sepenuhnya dan berwarna hijau kekuningan, manakala daun midin yang matang mekar sepenuhnya dan berwarna kemerahan. Daun midin yang tua selalunya tak dimasak dan dimakan sebab daun dan batangnya agak keras, tapi kalau yang sederhana tua tu masih boleh dimasak dan dimakan daun dan batangnya.

Photo Credit: Dapur Yusfarisyia

Menurut Kak Za lagi, pokok midin ni lagi dipatahkan pucuknya lagi banyak pucuk baru yang akan tumbuh nanti.

Khasiat Pucuk Midin

Pucuk midin bukan je sedap dimakan tapi banyak khasiatnya. Setiap 100gm pucuk midin dikatakan mengandungi sekurang-kurangnya 4.8mg zat besi. Tumbuhan ini juga kaya dengan mineral terutamanya fosforus dan kalium, serta vitamin A dan C, beta karotena dan flavonoid yang bagus untuk kesihatan mata dan sistem imun tubuh badan.

Sayur midin juga dikatakan mampu meredakan dan mengelakkan penyakit gout, serta membantu dalam proses penyembuhan luka. Ia juga dikatakan boleh membantu mengawal paras kolestrol dan tekanan darah dalam tubuh.

Di mana pucuk midin boleh didapati

Pokok midin tumbuh liar di kawasan tanah gambut yang berkelembapan tinggi, terutamanya di Sarawak. Ia tak tahan lama dan cepat layu sebaik saja dipetik, jadi tumbuhan ni tak dihasilkan secara komersil untuk dieksport atau dijual di pasaraya.

Pucuk midin selalunya boleh didapati di pasar tani atau pasar basah, dan penjual biasanya mengutip pucuk midin fresh pada waktu pagi hari yang sama juga disebabkan sifatnya yang tak tahan lama.

Pucuk midin juga tak tumbuh pada musim kemarau dan hanya tumbuh pesat pada musim tengkujuh. Ini menyebabkan pucuk midin makin sukar diperolehi dan kalau jumpa pun, harganya agak mahal.

Daun midin muda lebih senang diperolehi berbanding pucuknya. Pucuk midin yang dijual di pasar-pasar selalunya dibungkus dengan daun yang lebar berbanding pucuk paku biasa yang hanya dibungkus dengan kertas suratkhabar.

Photo Credit: Dapur Yusfarisyia

Cara memasak pucuk midin

Midin (Lemidin) Belacan oleh Dapur Yusfarisyia

Pucuk midin biasanya digoreng kilas (stir fry) atau dibuat ulam. Pucuk midin apabila dimasak akan berubah warna kepada hijau yang lebih muda, manakala pucuk paku apabila dimasak akan berubah warna kepada hijau yang lebih gelap. Pucuk midin juga mengekalkan bentuk kepalanya yang bulat berlingkar walaupun setelah dimasak, manakala kepala pucuk paku yang berlingkar biasanya terlerai setelah dimasak.

Sayur Lemak Bayam Merah & Pucuk Midin oleh Netie Rose Oven

Cara yang paling popular untuk memasak pucuk midin terutama sekali di Sarawak ialah goreng belacan. Lain pula caranya di Semenanjung. Kat Semenanjung biasanya daun mudanya yang dimasak dan dibuat sayur lemak atau bubur lambuk.

Bubur Lambuk Terengganu oleh Aza Aaj

Nah, sekarang korang dah khatam artikel ni, harapnya korang finally faham apa tu pucuk midin, bezanya dengan pucuk paku yang biasa kita makan tu, dan kenapa pucuk midin Semenanjung lain rupanya dengan pucuk midin Sarawak. Kat Semenanjung ni memang susah nak dapat yang pucuk tu, kat Sarawak je banyak.

Korang ada resipi pucuk midin yang best best tak? Jom lah share dengan kita orang kat Cookpad! Dengan berkongsi resipi kat Cookpad, korang juga secara tak langsung dah bina buku resipi elektronik korang sendiri. Resipi korang selamat tersimpan sampai bila-bila, dan boleh diturunkan kepada ke anak cucu cicit piut nanti.