Kita sudah menghampiri minggu terakhir puasa. Pasti anda semua sedang sibuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba nanti kan? Lagi 2 minggu dan kita bakal mengakhiri bulan Ramadan dengan ketibaan bulan Syawal pula.

Di dalam kekalutan menyiapkan segala keperluan berhari raya, tentu ramai daripada kita tidak lagi terlalu memikirkan menu berbuka puasa. Makan mana yang sempat sahaja. Lagi ringkas, lagi bagus.

Kami di Cookpad faham akan kesibukan anda menguruskan keluarga dan tugas harian. Untuk memudahkan tugas anda dan juga mengurangkan masa yang anda luangkan di dapur, berikut adalah 10 idea-idea resipi berbuka puasa yang mudah dibuat, cepat dimasak dan enak dimakan:

1. Lempeng

Lempeng Gebu dan Lembut Aumm oleh ChikNi Hussin

Tidak kiralah lempeng kosong atau lempeng kelapa, lempeng ialah pengganti nasi yang bukan sahaja sedap tapi mengenyangkan. Hidangan versatil ini juga boleh dimakan dengan apa sahaja - dicicah lauk semalam, kari, asam pedas, kuah durian, sambal, susu atau sekadar gula.

Lihat resipi-resipi Lempeng

2. Pizza Roti

Pizza Roti Gardenia oleh Zaidatul Aribah

Pizza yang paling simple - tidak perlu menguli, hanya guna roti keping sahaja! Hidangan ini juga versatil di mana ada boleh meletakkan apa sahaja bahan yang anda ingini di atasnya - cendawan, ayam, sosej, telur, sayur atau apa sahaja. Membakarnya juga tidak memerlukan oven, hanya guna air fryer atau masak sahaja di atas kuali leper.

Lihat resipi-resipi Pizza Roti

3. Oden

Oden oleh Suehaily Abdullah

Hidangan yang berasal dari Jepun ini boleh diolah mengikut citarasa tempatan, iaitu dengan kuah yang lebih pedas berperisa. Anda hanya perlu menyediakan kuahnya, yang boleh dibuat dengan hanya menggunakan pes tomyam atau pes asam pedas. Kemudian hanya tambahkan apa sahaja yang anda ingini sebagai isinya - ayam, daging, fishcake, fishball, tauhu kering, cendawan atau mee udon. Sejenis hidangan yang mengenyangkan walaupun dimakan begitu sahaja tanpa nasi atau roti.

Lihat resipi-resipi Oden

4. Sup Ayam

Sup Ayam Simple oleh Nurul Razali

Sup ayam bukan sahaja sedap dan mudah disediakan, tetapi juga sangat berkhasiat. Ia boleh dimakan dengan nasi, roti, bihun atau mee, juga enak dihirup begitu sahaja. Untuk keenakan maksima, tambahkan pelbagai bahan-bahan di dalamnya - kentang, lobak merah, batang saderi dan sayur-sayuran lain. Sejenis menu yang mesra kanak-kanak.

Lihat resipi-resipi Sup Ayam

5. Sambal Goreng

Sambal Goreng Jawa Paling Mudah dan Lazat oleh Aisyah Adawiyyah

Sambal goreng adalah antara hidangan yang paling versatil dan boleh dimakan dengan nasi atau roti. Sama ada sambal goreng jawa, sambal goreng ikan bilis atau sambal goreng sardin, anda hanya perlu tumis cili kisar bersama bawang dan tambahkan apa sahaja yang anda mahu di dalamnya. Sambal goreng juga enak dinikmati kosong begitu sahaja dan dicicah roti atau dimakan bersama telur goreng dan nasi panas.

Lihat resipi-resipi Sambal Goreng

6. Murtabak Maggi

Murtabak Maggi oleh Kinafilzah

Cepat dimasak, sedap dimakan! Murtabak yang paling mudah untuk disediakan. Jika mahukan rasa yang lebih enak dan terangkat, tambahkan bahan-bahan lain di dalamnya seperti cili potong, hirisan ayam, daging cincang atau sayur-sayuran. Gerenti sekeping sahaja tidak cukup!

Lihat resipi-resipi Murtabak Maggi

7. Ayam Buttermilk

Creamy Butter Milk Chicken oleh Lynn Hasman

Hidangan popular yang sangat digemari setiap lapisan umur tidak kira dewasa atau kanak-kanak. Boleh dimakan dengan nasi, mee, pasta atau dicicah dengan roti. Baunya yang sangat harum boleh membuatkan jiran-jiran sebelah muncul di pintu menatang sepinggan nasi.

Lihat resipi-resipi Ayam Buttermilk

8. Telur Air Asam

Telur Rebus Air Asam oleh Noor Ashikin Saerah

Hidangan yang pernah viral satu ketika dahulu kini menjadi hidangan popular ketika bulan Ramadan. Satu hidangan yang sangat simple dan mudah untuk disediakan tetapi mampu membuatkan nasi bertambah berpinggan-pinggan apabila menjamahnya!

Lihat resipi-resipi Telur Air Asam

9. Ayam Paprik

Paprik Ayam Mudah dan Senang oleh Nor Fila

Bagi yang masih gemarkan nasi untuk hidangan berbuka tetapi mahukan lauk yang simple dan juga digemari semua baik dewasa mahupun kanak-kanak, ayam papriklah jawapannya. Bukan sahaja mudah dan cepat membuatnya, tahap kepedasannya juga boleh diubahsuai mengikut citarasa masing-masing. Boleh juga ditambah sayur-sayuran seperti putik jagung dan batang saderi untuk hidangan yang lebih lengkap dan berkhasiat.

Lihat resipi-resipi Ayam Paprik

10. Roti John

Roti John oleh Kakak Faa

Kenapa beratur panjang di bazaar jika boleh buat sendiri? Mudah sahaja nak membuatnya! Boleh guna roti peranchis, roti hotdog atau roti keping, dan boleh letak apa sahaja sebagai intinya - sardin, telur, ayam, ikan bilis atau sayur-sayuran. Rasanya juga jauh lebih sedap daripada yang boleh didapati di bazaar!

Lihat resipi-resipi Roti John

Anda ada resipi berbuka puasa yang mudah, cepat dan sedap? Kongsikannya dengan kami di Cookpad Malaysia agar yang lain boleh mencubanya! Jika anda mahu melihat resipi-resipi paling popular bagi hidangan berbuka puasa termasuk yang di atas, pastikan anda melanggan Premium!