Nak Buat Apa Dengan Korban?

Diam tak diam dah seminggu berlalu sejak kita menyambut Hari Raya Aidiladha, yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban.

Korang banyak dapat daging korban? Selain daripada daging, mesti ada juga yang dapat organ seperti limpa dan kulit lembu atau bahagian-bahagian haiwan korban seperti kaki lembu, kaki kambing dan urat lembu kan? Ada yang dapat sebab request, ada yang dapat secara paksa-rela.

Yang dapat secara paksa-rela tu kadang berminggu-minggu, berbulan-bulan simpan kawan tu dalam peti ais sebab tak tau nak masak macam mana atau nak masak apa.

Korang pun macam tu jugak ke?

Kalau korang pun takde idea nak masak apa dengan bahagian korban yang korang dapat tu, tak usah ghisau tak usah stress. Cookpad kan adaaaaaa! Boleh dikatakan hampir semua bahagian haiwan ada resipinya kat Cookpad ni. Otak lembu, lidah lembu dan pipi lembu pun ada tau!

Daging

Daging Malbari Johor oleh Sesimple Loralin

Yang ni paling common orang dapat untuk korban. Sama ada daging lembu atau daging kambing, bahan yang versatil ni boleh masak macam-macam cara dan boleh dikatakan hampir semua orang suka makan. Buat rendang pun sedap, buat masak hitam pun sedap, buek masak lomak pun sodaaaappp!

Tulang

Sup Gearbox oleh Lily Suryani Mohd Ali

Yang ni pun bahagian yang femes kat Malaysia ni terutama sekali bagi penggemar sup tulang. Tak kira la tulang lembu atau tulang kambing, orang kata dia punya nikmat tu sampai tergolek mata ke atas nampak mata putih je (orang kata la, bukan kita kata eh). Selain sup, tulang juga boleh masak gulai, kari dan singgang.

Paru

Paru Berlado oleh Anur Musa

Paru ni kalau tak betul cara masak dia boleh jadi liat kan. Macam ada sorang makcik tu cakap, macam getah pemadam, kunyah-kunyah lenguh rahang je dapat, paru tak lut pun. Dia ada teknik dia sendiri nak masak bagi garing kat luar, lembut kat dalam. Paru ni kaya dengan zat besi jadi sapa yang kurang darah tu elok makan, tapi yang terlebih kolestrol tu awas ya sebab kandungan kolestrol dalam paru pun boleh tahan kaya.

Ekor

Ekor Goreng Berempah oleh Kakak Faa

Ekor ni pun orang paling suka masak sup. Selain daripada tu, ada juga yang masak stew, asam pedas dan goreng berempah. Disebabkan ekor lembu ni bahagian yang bertulang, cara masak dia pun sama dengan tulang lembu - sama ada direbus sampai empuk atau dimasak guna pressure cooker bagi yang kekurangan masa dan kesabaran.

Tetel

Asam Pedas Daging Tetel oleh Nor Hassan

Daging tetel ni memang popular di kalangan orang Melaka dan Johor sebab selalu dibuat masak asam pedas, termasuk la arwah mak kita yang memang peminat setia daging tetel. Walaupun penuh dengan urat dan lemak, bagi peminat kat luar sana daging tetel ni jauh lebih sedap daripada daging batang pinang, dia orang tak pandang dah daging biasa ni. Selain daripada asam pedas, daging tetel juga boleh dimasak kari, sup, masak kicap, masak asam dan masak lemak.

Hati

Hati Lembu Masak Rempah oleh Julia ALeen Aireish

Makan hati ni tak semestinya merana. Kalau kena cara masaknya boleh bertambah berat badan dek kerana bertambah nasi berpinggan-pinggan. Selalunya hati lembu ni dimasak sambal pengantin, tapi boleh juga dimasak kicap, kerutuk dan goreng kunyit. Sapa yang kurang darah pun elok makan hati ni. Hati lembu la ya, jangan makan hati sendiri pulak.

Perut

Air Asam Perut Muda oleh Liana Nick

Ada orang panggil perut lembu ni babat. Perut ni ada yang perut muda dan ada yang perut tuala iaitu perut tua. Nak membersihkannya agak seksa, tapi bila dah masak syahdu betul rasa dia. Rebus dan buat cicah air asam pun dah cukup nikmat dah. Selain daripada tu, perut ni sedap dibuat kerabu, masak lemak dan sup.

Amacam? Dah dapat idea dah nak masak apa dengan bahan-bahan korban yang ada dalam peti ais tu? Kalau masih lagi tak dapat ilham, ushar je Cookpad app dan search ikut bahan-bahan yang korang ada tu. InsyaAllah jumpa nanti tu yang berkenan di hati 🧡