Bagi anak-anak muda, perkataan "kunyit" mungkin disambut dengan gelak tawa atau senyuman sinis. Tak tau bila masa kunyit ni berubah daripada sejenis bahan masakan menjadi sesuatu yang takde kena mengena langsung dengan makanan, dan siapa yang mulakannya.

Yang pasti, bagi kebanyakan mak-mak kat Malaysia ni, kunyit ni salah satu bahan yang wajib ada kat dapur. Sebabnya kebanyakan hidangan kita terutama sekali hidangan Melayu memang banyak guna kunyit, kalau takde kunyit ni serba tak kena jadinya. Tak kira la kunyit hidup atau serbuk kunyit, kalau pergi mana-mana dapur kat negara ni mesti ada simpan stok kunyit.

Kunyit ni kalau nak tau banyak khasiatnya. Selain digunakan dalam masakan, kunyit juga dijadikan jamu atau minuman untuk kecantikan dan kesihatan dalaman, sebab tu juga la bagi ibu-ibu berpantang khususnya, kunyit ni menjadi salah satu bahan yang wajib untuk pulihkan badan dan tenaga lepas bersalin.

Selalunya kunyit ni orang buat masak apa eh? Yang paling biasa kita dengar goreng kunyit dan masak lemak kan. Tapi selain daripada dua tu boleh masak apa lagi? Jom sama-sama tengok menu apa lagi yang boleh dimasak dengan kunyit.

Masak Kunyit

Ikan Kembung Bertelur Masak Kunyit oleh aFun ashriati

Masak kunyit ni sebenarnya tak sama dengan goreng kunyit, jangan silap. Masak kunyit ni basah berkuah bukan macam goreng kunyit yang kering tu. Beza dengan masak lemak, masak kunyit ni tak bubuh santan, so warna dia lagi pekat dan cantik.

Bakar Kunyit

Ikan Bakar Kunyit oleh Ahlia Syed Firdaus

Kalau dulu kita selalu buat goreng kunyit, kali ni apa kata kita buat bakar kunyit lak. Sesiapa yang teringin nak diet tu memang sesuai sangat menu ni. Senang pun ye, sihat pun sihat, sedap lak tu. Blend je kunyit dengan bahan-bahan lain macam bawang, halia, bawang putih, serai dan cili, pastu lumur je atas ikan atau ayam. Kalau blend kunyit dengan garam je pun boleh. Pastu masuk dalam oven atau airfryer, atau panggang atas api. Siap!

Minuman

Creamy Ais Kunyit oleh Jeehan Kitchen

Selain daripada masakan, kunyit ni pun boleh dibuat minum juga. Paling selalu dibuat jus kunyit atau jus asam kunyit. Boleh juga dibuat smoothie kunyit. Kalau nak lagi rare, boleh try kopi kunyit. Ada bran?? Minuman kunyit ni bagus untuk buang angin dan bersihkan toksin yang terkumpul dalam badan.

Masak Pindang

Ikan Kembung Masak Pindang oleh Gyna Elenna

Ramai orang selalu confuse antara masak singgang dengan masak pindang. Masak singgang popular kat belah Pantai Timur terutama sekali Terengganu dan Kelantan, dan bezanya masak singgang tak guna kunyit. Kunyit dalam masak pindang mesti ada, sebab kunyit tu la yang buatkan kuah dia kuning.

Nasi Goreng

Nasi Goreng Kunyit Hidup oleh Iman Hasanah Musa

Kunyit pun sedap dibuat nasi goreng tau! Budak-budak pun boleh makan sebab tak pedas. Kalau nak pedas sikit boleh bubuh cili potong. Simple and yummy!

Gulai Kunyit

Gulai Kuning Ikan Baung Daun Kadok oleh Cempaka Putih

Menu yang popular kat Pantai Timur terutama sekali Kelantan. Selalunya dimakan dengan nasi berlauk, jadi ada yang panggil gulai nasi berlauk. Ada jugak yang panggil gulai kuning. Dua bahan utama yang mesti ada dalam gulai kunyit ni ialah kunyit dan lengkuas.

Serunding

Serunding Kelapa oleh Hani Shaimi

Kunyit juga boleh dibuat serunding. Selalunya orang buat serunding kelapa atau ikan pakai kunyit ni, dan warna dia pun kuning berbanding serunding daging dan ayam yang biasa kita nampak. Serunding kelapa pun banyak digunakan sebagai inti kuih, macam cucur badak atau pulut panggang, atau dimakan dengan nasi ambeng.

Asam Pedas

Daging Masak Asam Pedas oleh Sarmila Sharif

Menu terpaling popular kat Melaka dan Johor ni sebenarnya kena guna kunyit untuk naikkan rasa dan seri warna dia. Ada juga asam pedas yang tak bubuh kunyit tapi rasa dia agak kurang kick la. Ada pernah sekali kita masak asam pedas terlupa bubuh kunyit, arwah ayah yang pure orang Melaka jengah dalam kuali sekali terus cakap, "Kau tak bubuh kunyit, dik". Pandang je asam pedas tu dia dah tau apa yang kurang. So siapa yang selalu masak asam pedas tak bubuh kunyit tu boleh try masuk sekali kunyit basah kisar dalam sesudu dua. Gerenti tak menyesal. Selain daripada asam pedas, boleh juga try asam rebus. Asam pedas dengan asam rebus ni kalau hirup kuah dia memang syahdu.

So jom kengkawan kita try masak menu lain pulak dengan kunyit. Asyik goreng kunyit dengan masak lomak je jemu juga ye tak? Kat Cookpad ada beribu-ribu resipi yang pakai kunyit. Taip je kat bar carian, keluar la semuanya. Semuanya di hujung jari je!