Tidak lama lagi umat Islam di serata dunia akan menyambut ketibaan Aidilfitri. Tahun lepas kita semua buat pertama kalinya merayakan Hari Lebaran di dalam suasana norma baharu dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) , di mana ramai daripada kita tidak dapat pulang berhari raya di kampung bersama keluarga tercinta. Nampaknya tahun ini juga kita terpaksa menyambut ketibaan 1 Syawal di dalam PKP, kerana rentas negeri masih tidak dibenarkan dan lebih malang lagi bagi sesetengah kawasan, rentas daerah juga tidak dibenarkan.
Walaupun kita tidak dapat pulang ke kampung dan bergerak bebas ke sana ke mari, tidak semestinya sambutan Aidilfitri kita harus menjadi suram dan hambar. Hari Raya adalah hari kemenangan bagi umat Islam setelah sebulan berpuasa dan melawan nafsu, jadi kita harus menyambutnya dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Berikut adalah tip untuk membangkitkan mood berhari raya yang boleh membantu menjadikan Hari Raya PKP kita tahun ini tidak kurang meriahnya.
1. Teruskan dengan persiapan Hari Raya seperti biasa
Kemas dan hias rumah seperti biasa. Pasang lampu berwarna-warni dan tukar langsir dan sarung kusyen kepada yang lain (tidak semestinya yang baharu, memadai dengan apa yang sedia ada dalam simpanan). Mainkan lagu hari raya semasa membuatnya. Ritual sebegini sedikit sebanyak dapat mewujudkan suasana ketibaan hari raya dan mampu mempersiapkan kita dari segi mental dan emosi untuk menyambutnya.
2. Sediakan sendiri kudapan dan juadah Hari Raya
Luangkan masa di dapur untuk membuat pelbagai jenis biskut raya dan memasak hidangan Hari Raya. Tidak tahu caranya? Cookpad kan ada! Pelbagai resipi biskut raya seperti semperit, cornflakes madu, tart nenas, biskut mazola dan kuih siput, serta juadah hari raya seperti rendang, lemang, ketupat palas, kuah kacang, lontong, nasi daging dan nasi hujan panas boleh didapati di Cookpad Malaysia, jadi tiada alasan untuk tidak menyediakan sesuatu yang istimewa di hari raya.
3. Hidupkan suasana Hari Raya
Selepas solat Subuh, mandi sunat Aidilfitri dan pakai baju yang kemas dan cantik (tidak semestinya yang baharu). Bagi wanita, seelok-eloknya baju kurung dan bagi lelaki, baju Melayu. Nikmati sarapan hidangan Hari Raya bersama keluarga, dan seterusnya dirikan solat sunat Aidilfitri secara berjemaah dengan ahli keluarga yang ada. Bagi yang solo, anda juga boleh membuat perkara yang sama seorang diri. Buka siaran langsung takbir Aidilfitri di televisyen dan mainkan lagu hari raya sepanjang hari (kebanyakan siaran radio tempatan memutarkan lagu hari raya pada hari ini). Dengan menghidupkan suasana Hari Raya di kediaman kita, kita akan lebih bersemangat untuk menyambutnya.
4. Hubungi orang tersayang
Jauh di mata, namun tetap dekat di hati. Walaupun kita tidak boleh berhari raya bersama-sama secara fizikal, kita masih boleh berhubung menerusi teknologi komunikasi sedia ada. Pada zaman ini, kita amat beruntung kerana boleh membuat panggilan video. Lepaskan rasa rindu di hati dengan membuat panggilan video kepada ibu bapa dan keluarga di kampung halaman. Bermaaf-maafan sesama kita dan kongsi persiapan hari raya di kediaman masing-masing.
5. Kunjung mengunjungi sesama kita
Kita semua dibenarkan kunjung mengunjung pada 1 Syawal. Ziarah saudara mara, rakan taulan dan jiran tetangga yang berdekatan atau jemput mereka ke rumah. Tetapi ingat, amalkan SOP sepanjang masa seperti memakai pelitup muka, mengekalkan jarak yang selamat dan mensanitasi tangan dengan kerap. Tidak perlu berpelukan dan bersalaman, memadai dengan meletakkan tangan kanan di atas dada dan berbalas ucapan. Hadkan masa bertandang, jangan duduk terlalu lama di rumah mereka.
Kami di Cookpad Malaysia ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiftri kepada semua Cookpaders yang beragama Islam. Apa yang lebih penting daripada pulang beraya di kampung halaman ialah kesihatan dan keselamatan kita dan keluarga kita. Sentiasa berwaspada dan amalkan SOP walau di mana anda berada. Moga kita semua sentiasa di bawah lindunganNya dan dijauhkan daripada sebarang wabak dan penyakit. Amin Ya Rabbal 'Alamin.