Orang Johor terutama sekali belah Muar mesti kenal sangat dengan mi ni. Masa kecik-kecik dulu mesti jajan ni lah yang korang selalu hadap kan?
Tapi bagi sesetengah yang lain mesti tertanya-tanya, apa tu mi siput? Macam mana nak makan? Boleh buat snek yang makan dengan sambal tu je ke?
Lepas tu, ada pulak yang confused antara mi siput dengan mi sanggul. Ada orang kata serupa, tapi kalau tanya orang Johor sendiri, ramai yang kata beza dua tu. So sebenarnya sama ke lain mi siput dengan mi sanggul ni?
Hasil perbincangan dengan Cookpaders otai kita, minmin dapat kupas segalanya tentang mi siput untuk dihuraikan dalam blog minggu ni.
- Apa itu mi siput
- Perbezaan antara mi siput dengan mi sanggul
- Cara memasak mi siput
1. Apa itu mi siput
Mi siput ni sejenis mi kering yang diperbuat daripada campuran tepung gandum dan tepung ubi. Tepung ubi ni sebenarnya yang membezakan mi siput dengan mi biasa tu. Fungsi tepung ubi ni untuk nak bagi mi ni rangup bila digoreng. Kalau takde tepung ubi, mi jadi keras, tak boleh nak makan.
Campuran tepung gandum dengan tepung ubi ni dicampur pulak dengan air yang dicampur pewarna sikit. Lepas diadun, doh mi ni akan diuli dan dileperkan, sebelum dimasukkan dalam mesin mi.
Lepas dijadikan mi, ia akan direbus dan dibilas dengan air sejuk supaya helaian mi tu tak melekat sesama sendiri. Sambil dikirai, mi tu akan diputus-putuskan jadi pendek supaya senang nak susun dalam acuan nanti.
Seterusnya mi tu akan disusun ikut acuan yang dipanggil "pencetak" jadi bentuk bulat, tapi tak boleh tebal sangat kena nipis-nipis je, sebab kalau tebal nanti bila goreng mi tu tak kembang. Lepas dah dibentuk, mi tu akan dijemur bawah terik matahari untuk keringkan dia.
Mi yang dah siap dikeringkan akan dibungkus dalam pek untuk dijual. Selain daripada mi siput mentah, mi siput yang dah siap goreng pun ada dijual. Biasanya pengusaha mi siput ni buat kat rumah je, ada jugak yang dibuat kat kilang tapi kalau nak mi siput yang lebih autentik, better beli daripada pengusaha kecil-kecilan ni.
2. Perbezaan antara mi siput dengan mi sanggul
Ada orang kata mi siput dengan mi sanggul ni sama je. Betul ke?
Haaaa tapi kalau tanya warga Johor sendiri, dia orang akan kata beza dua tu, memang tak sama langsung.
Mi sanggul ni senang cari, kat mana-mana pun boleh jumpa. Mi siput ni eksklusif sikit, tak semua tempat ada. Selalunya kat Muar je ada, tempat lain susah nak jumpa.
Dari segi rupa pulak, mi siput ni bentuk dia bulat leper dan berselirat. Macam yang minmin cakap sebelum ni, mi dia pun tak tebal sangat supaya dia kembang elok bila goreng. Mi sanggul pulak bentuk dia melingkar bulat-bulat dan tebal, sebijik macam sanggul. Tapi ada jugak yang digulung dalam bentuk petak.
Bentuk helaian mi sanggul jugak leper dan tebal sikit berbanding bentuk helaian mi siput yang bulat dan lebih kecil. Helaian mi sanggul jugak panjang-panjang dan tak putus supaya senang dibentuk jadi sanggul, manakala helaian mi siput diputus-putuskan jadi pendek supaya senang dibentukkan ikut acuannya yang bulat leper.
3. Cara memasak mi siput
Cara yang paling lazim untuk menikmati mi siput ni ialah dengan menggorengnya, macam kita goreng keropok. Bila mi siput ni digoreng, mi tu akan mengembang dan permukaan mi akan jadi menggerutu dan menggelembung. Syaratnya, minyak kena banyak dan betul-betul panas, kalau tak mi tak akan mengembang dan timbul. Rasa dia bila digoreng seakan-akan keropok beras, rangup dan sedap. Selalunya mi siput yang digoreng ni dicicah dengan sambal tumis atau sambal goreng.
Tapi mi siput bukan hanya sekadar boleh digoreng je, nak masak macam mi biasa pun boleh. Celur dulu dengan air panas bagi lembut, lepas tu buat mi goreng atau mi sup. Versatil sebenarnya mi siput ni. Macam-macam resipi korang boleh try dengan mi siput.
Terima kasih minmin ucapkan pada Cookpaders otai kita, Mas, Yani, Erma dan Sal, sebab dah banyak bantu minmin untuk menulis artikel minggu ni. Hasil perkongsian mereka, kita semua sekarang lebih faham tentang mi siput dan perbezaannya dengan mi sanggul.
Korang dah pernah try mi siput? Kalau pernah, jom lah share resipi mi siput dengan kita orang semua kat Cookpad. Setakat ni kita ada 3 je resipi mi siput, tapi InsyaAllah minggu ni kita mungkin terima lebih banyak lagi resipi mi siput sebab mi siput ni salah satu bahan wajib Week 24 #GoldenApron24. Korang juga boleh install app Cookpad kat Play Store atau App Store, lagi macam-macam korang boleh tengok!